Ketua Penerangannya, Nazman Che Ibrahim berkata, ini kerana pemimpin DAP telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kerajaan negerinya sendiri berkaitan skandal balak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata, serangan DAP terhadap kerajaan Pas Kelantan nampak terancang dan tersusun seumpama satu gerakan yang diarahkan oleh tangan ghaib di belakang.

“Mudah untuk difahami oleh rakyat adalah DAP sedang mahu mengalih isu berkenaan kebocoran kertas siasatan skandal terowong yang memalitkan bukan sedikit nama-nama besar dalam DAP.

“Biarpun telah disoal di dalam Dewan Rakyat, namun mereka diam membisu dan tidak mahu menjawab persoalan berkaitan skandal ini yang dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, DAP Perak menyifatkan keputusan

kerajaan Pas Kelantan menolak cadangan untuk membenarkan panggung wayang patuh syariah dibuka di negeri itu membuktikan pendirian Pas sebagai sebuah parti yang ekstrem.

Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin

dilaporkan berkata, keputusan itu juga membuktikan Pas yang bekerjasama dengan UMNO tidak mampu untuk mentadbir kerajaan Persekutuan.

Semalam kerajaan Pas Kelantan menolak cadangan pembukaan pawagam walaupun patuh syariah keran bimbang gejala sosial akan bertambah.

Nazman berkata, bagi pemuda Pas, isu ini telah basi dan rakyat negeri ini sudahpun dapat menerima keadaan di mana bandar ini adalah satu kota yang tidak menawarkan hiburan berbentuk Pawagam.

“Lantas, apabila perak iaitu Zhemin yang juga

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji membangkitkan isu ini maka ia telah ketinggalan zaman dan menggunakan modal yang basi.

“Lebih baik jika ADUN DAP ini memfokuskan kepada dua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) yang jauh lebih tinggi statistik HIVnya iaitu Selangor dan Johor,” katanya. - UTUSAN ONLINE