Tetapi perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan PRK kali ini mempertaruhkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin oleh Muhyiddin sendiri sebagai Presiden.

Sudah tentu beliau mahu membantu calon mewakili Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali itu menang. Kerusi DUN Semenyih pun sememangnya milik Bersatu dan wajar dipertahankan.

Namun, yang peliknya ialah dalam siri kempen beliau membantu Muhammad Aiman, Muhyiddin sering membuat kenyataan yang menyerang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Semalam, Muhyiddin membuat pula kenyataan bahawa sewaktu hampir 40 tahun bersama pentadbiran BN, banyak manifesto tidak dapat dilaksanakan.

Ya, semua faham Muhyiddin cuba menonjolkan diri, tidak mahu tenggelam dek populariti bakal Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menteri-menteri kanan lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng yang dilihat lebih ke depan.

Tetapi janganlah asyik diulang `kenangan' ketika berada dalam pentadbiran BN untuk menonjolkan diri. Itu sudah menjadi sejarah.

Kalaupun dulu BN tidak dapat laksana kesemua manifesto, kenapa baru sekarang Muhyiddin bangkitkan? Mengapa tidak dulu lagi ketika hampir 40 tahun bersama dengan pentadbiran BN sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Usahlah dikenang lagi soal BN. Lebih baik Muhyiddin fokus kepada usaha membantu pentadbiran kerajaan menunaikan manifesto PH.

Itu lebih wajar, memandangkan sudah ada tanda-tanda rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat apabila satu demi satu janji manifesto PH tidak ditunaikan.

Sudah-sudahlah bercakap pasal BN, fokuslah bersama PH untuk membangunkan negara. Kalau selalu sangat sebut pasal BN, nanti disalah anggap rindu pula. - UTUSAN ONLINE