Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, dalam keadaan parti diibaratkan seperti sebuah rumah yang sudah terbakar, perkara tersebut sewajarnya tidak berlaku.

Katanya, dalam hal ini beliau memuji parti Pas yang ahli-ahli mereka sentiasa wala’ atau setia terhadap pemimpin mereka.

“Tanpa wala’ dan kesetiaan terhadap pemimpin serta sikap sering mencari titik perbezaan sesama kita, maka bilakah kita hendak berjaya mengambil semula kerajaan ini?

“Jangan sampai Pas pun lari kerana ibarat orang yang hendak berbesan, sudah tentu Pas hendak mencari sebuah ‘keluarga’ yang bersatu hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri program sarapan bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar di Dewan RC di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid berada di negeri ini untuk lawatan kerja selama dua hari sejak semalam.

Ahmad Zahid seterusnya ingin membetulkan tanggapan bahawa beliau mengumumkan bercuti pada Disember 2018 tetapi sebaliknya apa yang berlaku adalah menyerahkan sementara kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menggalas tugasnya sebagai Presiden.

“Dalam UMNO tiada istilah bercuti, hanya yang wujud ialah sama ada keluar atau meneruskan tugas. Justeru, adalah hak saya untuk kembali memegang jawatan Presiden kerana saya dipilih secara demokratik (dalam pemilihan UMNO),” ujarnya.

Ahmad Zahid mengumumkan untuk menyerahkan sementara kepada Mohamad untuk menggalas tugasnya pada Disember 2018 dan kemudian pada 30 Jun lalu menyatakan untuk kembali menggalas tugasnya, genap setahun beliau menang sebagai Presiden dalam Pemilihan UMNO.

Sepanjang ketiadaan Ahmad Zahid, tugas-tugas beliau dimainkan oleh Mohamad yang mengetuai jentera UMNO dan Barisan Nasional memenangi tiga pilihan raya kecil iaitu Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Rantau. - UTUSAN ONLINE