Hakikatnya kalah hatta pertukaran kerajaan adalah perkara biasa di dunia ini. Tidak pelik langsung. Cuma tidak bersedia untuk kalah menjadikan UMNO tersentak dan teraba-raba mencari hala tuju.

Apa hala tuju UMNO sebenarnya? Mudah, kukuhkan parti. Bangkitkan semangat. Ahli UMNO telah menunjukannya bermula malam tadi. Dewan Merdeka penuh seperti biasa. Laungan tetap bergema malah lebih kuat. Perwakilan melekat pada kerusi dan tidak ada kerusi melayang.

Cuma kepemimpinan harus melakukan perkara betul. Tenang. Tingkap-tingkap analisa ‘SWOT’ harus dibuka dan dinilai untuk mengatur langkah. Kemudian bangkit kembali. Ahli-ahli UMNO masih bersemangat hanya perlu didorong supaya api itu tidak terpadam.

Namun usahlah terlalu cepat melatah sehingga menjadi seperti ‘hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong’. Malah diulang cerita mahu menjadi kerajaan melalui jalan belakang dan terlalu beria-ia untuk bekerjasama dengan Pas seolah-olah sudah mahu putus nyawa sedangkan masih ramai prajurit yang mahu berkorban.

Dalam masa sama, usah dirisau dengan pemimpin yang melompat parti. Itu perkara biasa. Dan sudah tidak ada yang hairan lagi kerana itu adalah proses semula jadi untuk membersihkan parti.

Apa yang penting fokus untuk merapatkan saf dan menyusun strategi serta jentera sebaik mungkin. Masih ada masa yang panjang. Rakyat akan menilai prestasi kerajaan yang ada hari ini dan kerja buat UMNO.

Jujurnya, keadaan yang berlaku hari ini lebih buruk sebelum 9 Mei lalu. Bezanya Pakatan Harapan (PH) bijak menggunakan ruang maya dengan menyebarkan pelbagai persepsi bahawa kehidupan amat sukar sedangkan situasi tidak seburuk itu. Mereka mencipta tekanan sehingga rakyat bising-bising.

Hari ini, rakyat tidak bising-bising kerana lemahnya jentera siber UMNO untuk menguasai maya tetapi cepat atau lambat rakyat akan bangkit. Kemaskan askar maya. Jangan gopoh untuk mencari hala tuju. - UTUSAN ONLINE