Jauh sekali seperti dakwaan mulut-mulut puaka yang berhujah dangkal kononnya menolak ICERD sebagai merelakan Malaysia setaraf Myanmar dan Israel yang penuh dengan dasar perkauman sehingga membawa konflik berdarah puluhan tahun.

Sedangkan Malaysia punya acuan tersendiri. Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 8 (1) dan 8 (2) telah menegaskan semua rakyat sama di sisi undang-undang dan tidak ada sesiapa boleh didiskriminasi atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina.

Apatah lagi Perkara 3 Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan seharusnya pentadbiran negara ini mencerminkan ajaran Islam dibawa Rasulullah SAW yang sangat menekankan aspek keadilan dalam pemerintahan termasuk dalam menguruskan rakyat pelbagai agama sesuai dengan rahmatan lil alamin.

Cumanya dalam Perlembagaan negara ini, Perkara 8 (2) jika dibaca secara keseluruhan menyebut pengecualian kepada diskriminasi andai hal berkenaan telah disebut dalam Perlembagaan.

Sebab itu, Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera yang memberi kuasa kepada penetapan kuota atau rizab untuk membantu golongan itu adalah satu peruntukan yang sah dan tidak boleh dipertikai.

Malah pelaksanaan dasar afirmatif hasil daripada Perkara 153 bukanlah menidakkan hak sah kaum-kaum lain dan ini boleh dilihat sewaktu kerajaan merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) lebih 40 tahun lalu yang hanya menetapkan sasaran 30 peratus penguasaan ekuiti.

Dasar afirmatif atau diskriminasi positif ini juga diakui keperluannya dalam ICERD menerusi Artikel 1 (4) tetapi ditolak ramai peguam kanan dan pakar undang-undang perlembagaan kerana sifatnya yang menetapkan tempoh masa - berbeza dengan Perkara 153.

Justeru, isu ini sangat sensitif dan apabila kerajaan hari ini menyatakan tidak akan meratifikasi ICERD, ini pastinya melegakan ramai yang mahu peruntukan Perlembagaan negara tidak diusik gara-gara keghairahan menaikkan ranking dengan meratifikasi konvensyen antarabangsa.

Pastinya, Malaysia jauh lebih baik walaupun tidak meratifikasi ICERD berbanding sebahagian besar negara yang menjadi anggota. Biarlah kita menyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan mengenai dasar afirmatif kerana negara ini ada sejarah tersendiri. Cuma, kelemahan dalam pelaksanaan dasar ini harus diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dan pastinya, Perkara 153 ini melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pelindung fasal ini. Maka, dalam sebarang tindakan yang menyentuh soal ini pada masa depan, hati-hatilah. - UTUSAN ONLINE