Ujar beliau, pohon yang rendang itu bukan sahaja mampu menjatuhkan buah-buah yang manis tetapi juga menjadi tempat untuk masyarakat bernaung meluahkan segala hasrat dan masalah.

“Kita ini orang UMNO, pe­mimpin di sebalik mana pun, kita jadilah pohon yang rendang, pohon yang menaungi, menjadi tempat orang bernaung, menjadi tempat orang berteduh, tempat orang bersandar, tempat orang melepaskan dahaga dan makan buah-buahan bersama.

“Kita pastikan kita terus berkhidmat, parti gerakan khidmat bakti masyarakat, kita de­ngar masalah orang dan kita te­rus berbakti, biar buah kita ada itu dapat terus dinikmati orang dan masyarakat di luar sana.

“Jangan jadi pohon kelapa yang menjulang sendiri sahaja, kalau nak ambil buah pun, kena pakai beruk, tetapi jadilah pohon yang rendang, orang baling batu dan kayu, buah-buahan manis juga kita gugurkan untuk dimakan dan dinikmati oleh orang di mana sahaja,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau juga menegaskan, kekuatan UMNO akan sentiasa bertunjangkan kepada akar umbi dan keah­lian parti wajar diperluaskan lagi.

“Pokok tidak kuat di dahan, pokok tidak kuat di daun, pokok kuat di akar umbi, di akar umbi ini yang bekerja siang malam. UMNO tidak kuat di PWTC, UMNO kuat di akar umbi, maka di akar umbi ini yang perlu kita perkasakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau menyokong tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tujuh teras serta 21 langkah untuk memulihkan parti sebagaimana dalam ucapan dasar semalam.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat, salah satu langkah tersebut iaitu menurunkan kuasa sepenuhnya kepada UMNO bahagian bagi memilih calon untuk pilihan raya perlu diteliti kembali kerana proses berke­naan sebaiknya dilakukan menerusi rundingan.

“Kalau kita beri kuasa kepada bahagian terus secara 100 peratus, esok kita juga akan ada masalah. Saya risau lepas ni esok akan ada masalah se­perti politik wang berleluasa dan tidak akan padamlah masalah yang menghantui kita selama ini. Itu yang saya minta, kita kaji betul-betul,” katanya.

Selain itu, Mohamad turut menggesa agar kuasa autonomi diberikan kepada pentadbiran parti di peringkat badan perhubungan negeri dan bahagian untuk membuat pemutihan terhadap keahlian sedia ada serta memproses keahlian baharu.

“Bertahun-tahun borang bertimbun di PWTC untuk menjadi ahli, tetapi tidak diproses. Apakah kita hendak duduk dalam zaman batu lagi, orang nak ma­suk parti kelulusan mesti diberi oleh Presiden dan Setiausaha Agung?,” katanya.