Memetik laporan sebuah portal berita sebelum itu, Ismail yang keluar UMNO pada Jun tahun lalu, memaklumkan bahawa beliau akan menunggu pengumuman rasmi daripada Bersatu mengenai penyertaannya itu sebelum membuat kenyataan media berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, pemangku Ketua Bersatu Bahagian Arau, Maton Din berkata, Bersatu di sini mengalu-alukan penyertaan Ismail bagi mengukuhkan parti itu di negeri ini.

Katanya, apa yang lebih penting, kemasukan Ismail itu juga akan membolehkan Bersatu mempunyai satu-satunya wakil rakyat di Perlis.

Ujarnya, sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai empat orang wakil rakyat di negeri ini iaitu semuanya dari PKR.

“Pengalaman Ismail akan membantu gerak kerja Bersatu di negeri ini. Semoga kemasukan Ismail ke dalam Bersatu memberi manfaat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jun tahun lalu, Ismail yang juga adik kepada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan parti.

Untuk rekod, Ismail mula menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu dan pernah menjawat beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau. -UTUSAN ONLINE