Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu mengiktiraf pilihan yang dibuat oleh rakyat kerana tentunya golongan berkenaan mempunyai sebab-sebab tersendiri menolak calon Pakatan Harapan (PH) sebagaimana dalam PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

“Apa pun parti yang memegang tampuk pemerintahan sama ada di peringkat negeri atau Pusat, parti (berkenaan) tidak harus menghukum rakyat yang membuat keputusan.

“Kita ingin menuju ke arah negara demokrasi yang sihat, jadi saya rasa ini antara salah satu perkara yang penting dalam proses demokrasi iaitu mengiktiraf pilihan yang dibuat oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. - UTUSAN ONLINE