Keputusan itu dibuat oleh Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Setiausaha Agung parti, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu baru-baru ini.

Ketua Bahagian Ikatan Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Aliff Tafid berkata, delegasi ini adalah bagi melengkapi penyatuan Ummah Melayu yang terdiri dari Pas, UMNO, Ikatan dan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Menurutnya, apa yang tersirat di dalam piagam tersebut merupakan satu permulaan bagi penyatuan ummah antara parti gabungan pembangkang, Gagasan Sejahtera iaitu Pas, Ikatan dan Berjasa dengan UMNO.

"Apa yang penting, benteng untuk mempertahankan penyatuan ummah ini dari rebah mestilah diketuai oleh orang tengah yang mampu mengukuhkannya, jika tidak sama ada ia akan berlayar tidak tentu hala, atau pun sekadar nama yang akan menjadi sejarah kemudian hari.

"Jadikan penyatuan ummah ini sebagai satu blok pembangkang yang terbaik dalam sejarah negara selain mampu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ikatan dan Berjasa sebelum ini bersetuju menyertai Gagasan Sejahtera yang dipimpin Pas bagi menjayakan kerjasama politik antara parti Islam itu dengan UMNO.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, Ikatan dan Berjasa menyertai kerjasama politik Melayu itu melalui Gagasan Sejahtera untuk membentuk Perpaduan Ummah.

Menurut Aliff yang merupakan salah seorang daripada 10 wakil parti itu nanti, kewujudan penyatuan ummah ini bukan sahaja dapat mengembalikan kepercayaan orang Melayu malah ia dapat menyatukan rakyat negara ini. - UTUSAN ONLINE