Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, penyatuan tersebut sesuatu dituntut dalam Islam sebagaimana contoh kaum Ansar dan Muhajirin disatukan, apa lagi dalam keadaan sekarang masyarakat Islam inginkan kekuatan itu.

“Ibarat ‘sireh pulang ke ganggang’ menyatukan kembali UMNO dan Pas. Pas suatu ketika dulu merupakan sayap kepada ulama-ulama kemudian berpecah dan hari ini bersatu semula dalam satu penyatauan cukup bermakna.

“‘Biduk lalu kiambang bertaut’ kerana adanya biduk inilah iaitu isu-isu pada orang Islam maka ada hikmahnya apabila kita menyatu,” katanya seperti dipetik portal UMNO-Online.

Katanya, sewajarnya masyarakat Islam mengenepikan kepentingan politik, fahaman peribadi, menolak apa saja yang menjadi perpecahan serta memilih untuk bersama.

“Keputusan memilih untuk dimeterai satu perjanjian, satu piagam, satu ‘sohifah’ sepertimana pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ini perlulah disambut baik oleh seluruh umat Islam,” jelasnya lagi.

Tambahnya, penyatuan itu umpama lidi-lidi yang menjadi kuat apabila menyatu untuk memenangi isu-isu Islam dan juga umat Islam itu sendiri.

“Kalau kita tidak diuji dengan ujian-sebegini mungkin tidak ada keperluan bersama. Saya yakin Insya- Allah apa yang bakal kita buat adalah mengikut sunnah dan sudah sampai masanya untuk kita melakukan,” ujarnya –UTUSAN ONLINE