Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, malah tindakan tersebut juga membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat untuk membangunkan negeri ini.

Malah, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pas Kelantan kerana mengambil tindakan tersebut.

“Tindakan penarikan saman oleh kerajaan Kelantan itu membuka ruang dan memperkukuhkan lagi semangat federalisme antara Kelantan dan kerajaan persekutuan. Inilah hasrat yang ingin dilihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya suasana lebih kondusif diwujudkan.

“Apa yang terkandung dalam perlembagaan untuk pembayaran wang tunai atau royalti itu akan dilaksanakan segera selepas proses selesai dalam masa terdekat,” katanya yang tidak memberikan jangka masa yang tepat untuk pembayaran royalti tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Proses penarikan balik saman tersebut selesai sepenuhnya pada 27 Jun lalu.

Sementara itu, Ahmad berkata, Kerajaan Pas Kelantan telah memenuhi semua syarat yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang dikehendaki bagi membolehkan royalti petroleum dapat dibayar dengan penarikan balik saman tersebut.

“Semua proses sudah selesai dan terserah kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE