Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka hari ini membuat lima laporan di Balai Polis Ayer Keroh di sini sebentar tadi bagi menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan biadab pemilik akaun tersebut.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang mengetuai laporan polis tersebut berkata, tindakan pemilik akaun berkenaan yang masih bebas dianggap amat keterlaluan dan tidak boleh diterima bukan sahaja umat Islam dan masyarakat Melayu, malah penganut agama lain.

“Kita buat laporan polis ini kerana ingin menggambarkan bahawa perkembangan yang berlaku ketika ini tidak sihat di mana penghinaan demi penghinaan dibuat terhadap umat Islam, orang Melayu serta pemimpin kami iaitu Nabi Muhammad SAW.

“Sehubungan itu, Bersatu Melaka mendesak pihak berkuasa agar mempercepatkan siasatan kes ini serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku supaya tidak berulang,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Beliau yang tiba di balai polis pada pukul 1 petang turut diiringi pemimpin Bersatu negeri termasuk barisan pemimpin Armada dan Srikandi Bersatu negeri serta bahagian Masjid Tanah, Bukit Katil, Kota Melaka dan Tangga Batu.

Sementara itu, sebanyak 15 laporan polis dibuat oleh UMNO, Pas Melaka dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Batang Tiga di Klebang di sini malam tadi berhubung isu yang sama.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, provokasi yang cuba dilakukan individu terbabit dilihat seolah-olah sengaja menimbulkan kemarahan dan boleh menggugat keharmonian negara.

“Tindakan menghina agama Islam ini dilihat semakin menjadi-jadi dan kita mahu pihak berkuasa segera membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan supaya keadaan ini tidak berlarutan dan boleh menggugat keselamatan negara,” katanya pada perhimpunan malam tadi yang turut dihadiri Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail dan Ahli Jawatankuasa Pas Melaka, Hishammuddin Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE