Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, arahan telah dikeluarkan agar Pas Selangor diwakili sekurang-kurangnya 11,000 penyokong dan ahli dalam himpunan bersejarah tersebut.

"Pas negeri Selangor komited untuk menjayakan program bersejarah Himpunan Penyatuan Ummah.

"Bagi memastikan kejayaan program ini, Pesuruhjaya Pas negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi telah mengeluarkan arahan agar Pas Selangor diwakili oleh sekurang-kurangnya 11,000 penyokong dan ahli yang akan berhimpun bersama lautan penyokong dan ahli Pas dan UMNO seluruh negara selama dua hari berkenaan di PWTC," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Roslan Shahir sementara itu berkata, program himpunan berkenaan yang kemuncaknya akan menyaksikan pemasyhuran piagam kerjasama Pas-UMNO itu diyakini akan menyemarakkan sokongan rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam terhadap perjuangan kedua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara itu.

"Semoga kehadiran yang besar ini akan memberi isyarat dan harapan kepada semua pihak bahawa piagam penyatuan ummah ini mendapat restu dan sokongan seluruh rakyat dan bakal melakarkan lanskap baharu politik negara," katanya. - UTUSAN ONLINE.