Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, wakaf adalah satu instrumen yang sangat penting, malah semakin sinonim dalam ekonomi serta pemerkasaan sosial di negeri ini.

"Sudah banyak projek serta inisiatif yang dijayakan di Johor menggunakan instrumen wakaf. Misalnya, Larkin Sentral, kompleks stesen bas moden Johor yang kita mempunyai wajah dan kecekapan yang sama sekali berbeza dan jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

"Wakaf mempunyai potensi besar yang mesti dioptimumkan. Banyak tanah wakaf di seluruh Johor yang masih tidak dibangunkan dengan selayaknya. Malah, institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf, belum cukup radikal, inovatif dan mantap dalam mempromosi serta menjayakan agenda wakaf di Johor," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengenai isu air, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO mendakwa Johor berdepan masalah air yang berterusan dalam dua bentuk, iaitu bekalan dan perkhidmatan yang sering terganggu serta tarif yang sangat mahal.

"Saya sudah kerap kali menegaskan keperluan dan kewajaran untuk kerajaan negeri mengambil alih Syarikat Air Johor-Ranhill (SAJ-Ranhill). Bukan sahaja kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan rizab kira-kira RM4 bilion, tetapi kelebihan yang akan diperoleh sangat besar, sekali gus akan meningkatkan kecekapan pengurusan dan agihan bekalan serta merendahkan tarif dan caj air.

"Adalah amat merugikan jika rizab negeri yang besar ini tidak digunakan untuk manfaat rakyat Johor. Malangnya, kerajaan negeri dengan terburu-buru bukan sahaja telah menolak saranan ini, malah tampil dengan idea drastik dan melulu untuk menubuhkan pula syarikat air Johor yang baharu," katanya. - UTUSAN ONLINE