Wak pun  `panas juga’ bila tengok ada individu semakin biadab dan dah macam tak hormat orang Melayu. Macam-macam mereka cakap dan buat, kadang kala sampai pada tahap yang Wak rasa sudah menguji kesabaran orang Melayu.

Tetapi Wak tahu orang Melayu tak mudah melatah, sampai nak buat perkara bukan-bukan, mereka sentiasa bersabar, paling tinggipun berderet-deret pi buat laporan polis. Bagaimanapun Wak nak nasihat la kepada `kawan-kawan’, janganla selalu sangat  menguji sebab nanti macam-macam boleh jadi.

Wak bukan nak galak orang bergaduh tetapi cuma nak minta semua orang berhati-hati apatah lagi apabila melibatkan sensitiviti kaum tertentu. Contohnya dalam isu tulisan Jawi. Wak pelik pasal apa ada puak melompat macam kera kena belacan! Kera terkejut pun tak mampu nak lompat macam mereka lompat.

Yang paling tak masuk akal siap buat petisyen. Marah betul mereka, bila kerajaan bertegas nak terus pelaksanaan pembelajaran Jawi. Mereka lebih marah apabila kawan baik dalam kerajaan yang diharap jadi `taiko’ tak mampu buat apa-apa. Selama ini, mereka ingat kawan baik tu paling berkuasa, maklumlah pegang jawatan kanan dalam Kabinet.

Sekarang mereka sudah kelam kabut, kawan baik mereka tak boleh nak cakap banyak sebab tahu tulisan Jawi atau penulisan khat tiada kaitan dengan agama, walaupun ia warisan orang Melayu.

Kalaulah ada puak alergi sangat dengan tulisan Jawi, kenapa logo `halal’ keluaran JAKIM dalam tulisan Jawi berebut-rebut nak dapat, sampai ada geng mereka yang mengamuk sebab lambat proses. Yang tu tak nak pula lihat dari sudut `Melayu dan Islam’!

Bagi Wak, orang yang buta sejarah dan bersikap rasis sahaja yang menentang pembelajaran tulisan Jawi. Kalau tak, mana mungkin mereka menentang seolah-olah kalau belajar tulisan Jawi habislah anak-anak kaum lain.

Wak nak nasihatkan, puak-puak ni termasuklah ahli politik mereka, janganlah melampau sangat. Wak yakin ramai lagi anak bukan Melayu yang berminat belajar Jawi. Mungkin lepas ni kaligrafi Cina serta tulisan Tamil boleh diperluaskan. Kalau itu dilaksanakan Wak percaya tidak ada orang Melayu yang akan menentang apatah lagi melompat macam kera kena belacan.

Wak ada ramai kawan bukan Melayu, mereka bimbang dengan apa yang sedang  berlaku kepada negara sejak selepas PRU-14. Wak faham maksud mereka. Cuma Wak nak pesan, kena hati-hati jangan main atau bangkit isu yang ibarat `pasang bom jangka’ kerana akhirnya ia pasti menghancurkan semua. - UTUSAN ONLINE