Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah menjadi lumrah dalam politik apabila terdapat ahli yang mahu menyatakan sokongan terhadap pemimpin melalui cara tertentu.

"Apabila ada sejumlah ketua cabang mahu menyatakan sokongan kepada presiden, itu lumrah kerana dalam berpolitik, ini (perkara) biasa, ada sokong, ada tak sokong.

"Pilihan ketua cabang menzahirkannya (mengumpul tanda tangan di peringkat cabang), pada saya tidak mengapalah, kita biar proses itu, (kumpul tanda tangan) bukanlah menjejaskan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir sesi dialog menteri bersama belia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha hari ini yang dilaporkan berkata tindakan mengumpulkan tanda tangan pemimpin parti di peringkat cabang di seluruh negara bagi menyokong kepemimpinan Anwar sebagai membuang masa.

Mengulas lanjut Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, PKR merupakan parti demokratik dan beliau tidak mahu meremehkan kebijaksanaan ketua cabang kerana mereka tahu signifikan tindakan tersebut.

Menerusi laporan sebuah portal, Haniza dipetik berkata, perbuatan mengambil tanda tangan tidak menyatukan, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.

Semalam Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 ketua cabang PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa, semua ketua cabang itu telah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperoleh berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu. - UTUSAN ONLINE.

habis//