Berbekalkan pengalamannya selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa dilihat sebagai antara tokoh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) yang berkelayakan menyertai pentadbiran kerajaan.

Mustapa pernah berada dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pembangunan Usahawan serta Menteri Kewangan II yang pertama ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu.

Hari ini dalam laporan portal Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Jeli itu dilaporkan mengelak soalan mengenai kemungkinan beliau kembali ke Kabinet dan sebaliknya berkata ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan itu.

Beliau juga enggan mengulas mengenai sebarang pertukaran portfolio dalam Kabinet.

“Itu prerogatif (hak istimewa) Perdana Menteri,” katanya semasa menghadiri luar Forum Ekonomi Nasional di sini, hari ini.

Mustapa yang menyertai Bersatu pada Oktober 2018 merupakan antara nama besar yang dibawa menyertai komponen PH tersebut dan dipercayai bagi mengukuhkan kehadiran Bersatu dalam PH.

Pada minggu lalu, Dr. Mahathir mengesahkan bahawa tidak ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat seperti yang menjadi spekulasi oleh beberapa pihak khususnya media tempatan.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri. - UTUSAN ONLINE