Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd. Salleh berkata, kerajaan juga mesti mengambil tindakan tegas terhadap Dong Zong yang sengaja bermain sentimen perkauman untuk menjejaskan keharmonian kaum.

Menurut beliau, perkara ini seharusnya ditangani dengan sikap toleransi dan saling menghormati kerana hidup dalam sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, budaya serta cara hidup.

“Selain itu, hal ini berikutan sentimen negatif yang sengaja diwujudkan oleh pemimpin DAP berkaitan tulisan Jawi dan khat yang dijadikan silibus Bahasa Melayu tahun 4.

“Mengambil kira kanvas sosial serta sejarah Malaysia, isu kenyataan berbaur hasutan sebegini wajar ditangani dengan serius,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik portal Harakah Daily hari ini.

Menurut Nuridah, terdapat undang-undang negara yang memperuntukkan kesalahan serta hukuman bagi perbuatan menghasut dan mengancam ketenteraman. - UTUSAN ONLINE