Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai malah mendakwa tindakan Guan Eng itu seolah-olah sedang menghidap paranoid yang serius.

Menurut Dominic, sebelum berjaya mentadbir negara, DAP secara terang-terangan mendakwa UMNO 'menekan' pengaruh media, namun sebaliknya berlaku ketika ini.

"Ini bukan kali pertama Guan Eng cuba untuk 'membunuh' Sin Chew Daily. Sebelum ini semasa ditemubual akhbar Oriental Daily, Menteri Kewangan itu mendakwa DAP tidak berjaya mempertahankan pendidikan Cina berhubung isu tulisan Jawi dan seni khat disebabkan laporan akhbar itu.

"Selepas membaca kenyataan yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung DAP, saya merasakan Guan Eng menghidap paranoid. Saya harap beliau tidak meninggalkan rawatan dan mengambil ubat mengikut masa ditetapkan," katanya secara sinis dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dominic berkata, sejak PH mula mengambil alih kerajaan, DAP telah berdepan dengan beberapa isu yang mendatangkan kebimbangan kepada komuniti Cina.

Namun begitu, menurut Dominic, kepemimpinan DAP seolah-olah terus 'berlagak' terhadap beberapa isu termasuk Lynas, Jawi dan isu-isu lain tetapi bertindak menyalahkan pihak media.

"DAP sama ada sebagai Kerajaan Persekutuan atau Negeri telah pun mengabaikan permintaan pengundi.

"Dalam masa yang sama, Gerakan terus komited mempertahankan kebebasan media. Semua media sepatutnya mempunyai kebebasan mutlak untuk menyunting berita. Mereka tidak boleh dilabel sebagai anti kerajaan atau propembangkang hanya kerana tidak menyiarkan berita mengenai kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE