Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Abu Bakar Yahya berkata, alasan Hassan kononnya Perdana Menteri tidak dapat menangani isu dalam negara bukan sahaja tidak tepat tetapi seakan-akan lebih bermotifkan politik semata-mata.

"Apakah niat sebenar beliau (Hassan) membuat gesaan sedemikian terhadap Perdana Menteri dan apakah yang beliau cuba dibuktikan?. Sedangkan rakyat tahu bahawa faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu adalah daripada pengaruh serta pengalaman luas Dr. Mahathir dalam politik dan kerajaan.

"Apakah beliau yang juga Pengerusi PKR Johor itu tidak sabar-sabar mahukan 'bosnya', Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Ke-8?. Ingatlah akan mandat rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada Dr. Mahathir untuk memimpin dan memulihkan negara dan tidak ada tempoh masa untuk proses itu," katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar mengingatkan Hassan yang juga Pengerusi PKR Johor itu supaya menasihatkan pimpinan partinya yang lain supaya berhenti membuat gesaan, desakan atau kenyataan media berkaitan isu jawatan Perdana Menteri mahu pun mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

Katanya, tindakan sedemikian hanya akan merencatkan usaha pemulihan negara selain mencetuskan situasi ketidaktentuan yang boleh meresahkan rakyat dan para pelabur.

"Jadi saya ingin beritahu kepada Hassan supaya jangan beliau buang masa dengan hal-hal yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Ada baiknya jika beliau beri tumpuan atau idea bagaimana untuk membina semula negara ini bersama-sama dan jangan pentingkan diri sendiri," katanya.

Semalam, Hassan dilapor mencadangkan Dr. Mahathir supaya berundur sebagai Perdana Menteri kerana didakwa tidak dapat menangani banyak isu dalam negara.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar proses peralihan jawatan itu dilakukan segera kepada Anwar.

Habis.