Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, setiap pelajar seharusnya diberikan kebebasan sama ada mahu mempelajari seni khat Jawi itu ataupun tidak.

“Gerakan tidak menentang seni khat Jawi tetapi menentang dasar Kementerian Pendidikan yang memaksa pembelajaran di SJKC dan SJKT. Pendidikan harus dipelbagaikan, pelajar yang berminat sepatutnya boleh memilih secara bebas sama ada hendak belajar atau tidak,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching meletak jawatan dengan segera dan menyifatkan Ahli Parlimen Kulai itu sebagai tidak layak untuk mengurus pendidikan masyarakat Cina.

Malah jelas Dominic, Nie Ching ketika ini juga dilihat semakin kehilangan kepercayaan dan sokongan serta telah dianggap ‘menjual’ masyarakat Cina.


“Jika Nie Ching dapat menangani pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat Cina, hasilnya tidak akan jadi seperti ini. 


“Jika hanya segelintir sahaja yang menentang tulisan Jawi, sudah pasti tidak banyak reaksi dalam media sosial,” katanya.

Nie Ching sebelum ini dikatakan tidak menghormati komuniti Cina dan India apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan melaksanakan tulisan Jawi pada buku-buku teks di semua SJKC dan SJKT.

Malah Dominic secara sinis menganggap, tindakan Nie Ching itu berjaya membuktikan kemampuannya membawa inskripsi Jawi ke SJKC dan menyifatkan ia sebagai sumbangan besar kerajaan PH.-UTUSAN ONLINE.

//HABIS