Nie Ching didakwa mengumumkan pelaksanaan ini tanpa berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Nie Ching juga dipersoalkan kerana tidak mendedahkan perkara ini menerusi Kementerian Pendidikan secara rasmi sebaliknya mengumumkan perkara ini kepada media setelah ditanya mengenainya.

“Apabila ditanya adakah tulisan jawi termasuk dalam peperiksaan?, dia (Nie Ching) meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak sekolah, komuniti Cina dan India untuk memantau sama ada ia boleh dimasukkan dalam peperiksaan atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dominic, jika tulisan jawi ada pada buku-buku teks, kementerian sepatutnya menambah tulisan Cina dan Tamil pada buku-buku teks sekolah kebangsaan.

Katanya, pihaknya tidak menyekat mana-mana pelajar untuk mempelajari bahasa terutamanya bagi sebuah negara yang berbilang kaum.

“Jika kita hanya membenarkan pelajar-pelajar SJKC dan SJKT untuk mempelajari tulisan jawi, tetapi sekolah kebangsaan tidak perlu mempelajari seni tulisan kaligrafi Cina dan Tamil, ia dilihat seperti satu dasar yang tidak relevan daripada Kementerian Pendidikan yang dilihat mempunyai agenda dan tidak adil,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE