Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, hal itu tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat berbilang kaum.

Katanya, apa-apa sahaja produk yang mempunyai sijil halal sama ada dijual oleh orang Islam atau bukan Islam, produk itu tetap mematuhi peraturan halal.

“Malaysia hanya sebuah negara kecil dengan populasi 30 juta. Jika rakyatnya memboikot sesama sendiri, tiada siapa boleh hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ‘kempen’ tersebut yang ditularkan dalam media sosial meskipun ada pihak yang menggangap tindakan tersebut bukan memboikot, tetapi hanya mengutamakan barangan keluaran milik bumiputera.

Bagi Dominic, usaha memboikot memberi kesan terhadap perpaduan negara serta merugikan pengguna.

Malah beliau mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang melancarkan kempen tersebut.

Dalam perkara lain, Presiden Gerakan itu juga berkata meskipun parti itu telah keluar daripada Barisan Nasional (BN), masih ramai yang menyertai parti tersebut yang menurutnya menggambarkan ideologi Gerakan masih diterima rakyat.


“Gerakan adalah parti yang pelbagai. Semua ahli daripada etnik yang berbeza adalah sama. Sama ada kepemimpinan atau calon pilihan raya, kaum tidak menjadi pertimbangan. Kami mahu pemimpin dan calon yang berkaliber,” katanya.

Menurut Dominic, walaupun sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan negara masih dihantui dengan isu-isu kaum dan agama.

“Malah dalam Malaysia baharu pun, isu etnik menjadi semakin tegang. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melarang penubuhan parti politik satu kaum untuk menyelesaikan masalah etnik dan agama,” katanya.-UTUSAN ONLINE