Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pengajaran sains dan matematik dengan menggunakan bahasa ibunda adalah terbukti lebih efektif.

Katanya, kerajaan telahpun melaksanakan sistem PPSMI ini dari 2003 hingga 2009 tetapi menemui kegagalan.

"Kerajaan perlu belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya dengan mengorbankan pelajar dan melemahkan pembangunan pendidikan negara.

"Kerajaan juga menganjurkan program pendidikan dwibahasa (DLP) untuk kedua-dua subjek berkenaan untuk sekolah-sekolah yang berkelayakan, bagaimanapun ia menjadikan perkembangan pembelajaran pelajar tidak seimbang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Kementerian Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci mengenai pelaksanaan semula dasar PPSMI.

Dr. Mahathir berkata, kajian tersebut adalah dengan melibatkan penyediaan sistem baharu yang menggunakan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Jelas Perdana Menteri, sistem baharu itu adalah pengajaran yang direkod oleh guru terbaik yang akan diguna di semua sekolah.

Dominic dalam pada itu merayu kepada kerajaan supaya tidak menjadikan para pelajar di negara ini sebagai tikus makmal apabila memperkenalkan sebarang dasar-dasar baharu.

Katanya, dasar-dasar baharu ini akan memberi kesan besar terhadap dua generasi masyarakat.

"Bagaimanapun, saya menyokong usaha kerajaan untuk memantapkan lagi kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

"Gerakan juga akan mengumpul pendapat daripada pelbagai pihak untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE