Peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, Choo Kiong tetap menjalankan tugasnya seperti biasa kerana belum terbukti bersalah atas tuduh merogol pembantu rumahnya.

“Kita harus berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Saya yakin beliau tidak bersalah, jadi tiada sebab untuk beliau meletak jawatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau menjawab desakan beberapa pihak supaya Choo Kiong meletak jawatan atau digantung tugas kerana berdepan dakwaan merogol pembantu rumahnya.

Menurut Cheok Keng, semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) banyak pemimpin dari parti itu yang dituduh, didakwa tetapi tiada siapa yang meletak jawatan.

Mengulas lanjut tuduhan terhadap Choo Kiong, Cheok Keng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar percaya tuduhan tersebut tidak berasas.

Cheok Keng malah mendakwa tuduhan rogol senang dibuat namun sukar untuk dibuktikan.

“Saya mahu tekankan ialah masa alibi. Ketika kejadian mustahil dan tidak logik untuk tertuduh merogol di rumahnya ketika ada orang di dalam rumah termasuk ahli keluarganya,” katanya. - UTUSAN ONLINE