Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, usaha itu akan digerakkan selepas selesai program Sesi Libat Urus yang dikendalikan jawatankuasa berkenaan di seluruh negara dengan negeri terakhir membabitkan Selangor.

"Buat masa ini kita belum mengemukakan secara rasmi cadangan itu kepada pihak kerajaan.

"Laporan yang pertama iaitu laporan interim akan dihantar pada hujung tahun ini dan selepas itu barulah kita menyediakan laporan yang lebih kemas," katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Pembaharuan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya Peringkat Terengganu di Dewan Seminar, Bangunan Kompleks Kuliah Pusat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Cadangan itu adalah antara 15 bidang kajian yang dikenal pasti ERC dalam urusan pilihan raya termasuk mengkaji sistem-sistem pilihanraya yang sesuai sebagai langkah pembaikan kepada sistem 'first-past-the-post' yang sedia ada, sekiranya perlu; menubuhkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk penubuhan sebuah badan pengurusan pilihan raya yang teguh dan sempurna di samping mewujudkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk diguna pakai bagi melaksanakan tugas-tugas persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dan hal-hal yang berkaitan dengannya.

Menurut Ab. Rashid, usaha bagi memperkasa badan pengurus pilihan raya di negara ini itu bertujuan membolehkan SPR benar-benar memainkan peranannya sebagai badan bebas.

Dalam masa sama, katanya, inisiatif itu juga bakal memberi kelegaan kepada semua pihak kerana tidak perlu lagi melalui proses pendaftaran sesebuah parti politik yang panjang seperti sekarang.

Beliau memberitahu, ERC juga bercadang mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik bagi menerangkan kerangka reformasi pilihan raya sekali gus membolehkan mereka menerima cadangan perubahan membabitkan sistem, proses dan pindaan kepada undang-undang pilihan raya. - UTUSAN ONLINE