Laporan tersebut dibuat oleh Pertubuhan Rangkaian Organisasi 98 @ Reformasi Perak (PRO 98 Reformis Perak), Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Pertubuhan Prihatin Rakyat Perak, Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih Taiping, Pertubuhan Ikatan Komuniti Daerah Larut, Matang dan Selama dan Persatuan Integrasi dan Kebajikan Kinta Perak.

Setiausaha PRO 98 Reformis Perak, Sazali Shamsudin berkata, laporan polis itu dibuat berdasarkan satu artikel penafian oleh Abdul Yunus Jamhari bertajuk 'Exco Perak nafi audio cuba kautim polis, SPRM' seperti yang dilaporkan sebuah portal berita pada 15 Ogos lalu.

Katanya, siasatan segera perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia jelas telah menjejaskan kewibawaan kedua-dua pasukan berkenaan.

"Sekiranya tiada siasatan dilakukan terhadap pembantu Exco terbabit yang cuba berunding dengan seorang pegawai polis bagi menyelesaikan kes rasuah itu, ia akan menyebabkan ketelusan PDRM terus dipertikai.

"Malah, ia juga memberi persepsi buruk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan integriti dan ketelusan dalam pentadbirannya," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sazali berkata, pihak SPRM juga perlu mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan nama pasukan itu daripada tuduhan seperti mana dalam rakaman audio berkenaan.

Katanya, menerusi rakaman itu, pemanggil juga mendakwa telah berunding dengan pihak SPRM berkaitan dakwaan yang dihadapi Exco terlibat.

"Kami minta agar pihak polis dan SPRM siasat perkara ini. Pembantu Exco itu juga perlu dipanggil bagi mengesahkan sama ada suara dalam rakaman itu adalah miliknya atau orang lain.

"Dalam kes ini, kami juga meminta agar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merehatkan Exco berkenaan daripada menjalankan tugas supaya tidak mengganggu siasatan," katanya.

Pada 13 Julai lalu, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang Exco kerajaan negeri telah membocorkan kertas minit mesyuarat exco kerajaan negeri yang bertujuan mendapatkan komisyen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurut Yong Kean, perkara itu berlaku selepas Exco berkenaan bersetuju untuk menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.-UTUSAN ONLINE