Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menjelaskan, kenyataan Guan Eng semasa kempen PRK Rantau sedang berlangsung dirasakannya sebagai melanggar peraturan pilihan raya, namun beliau menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menilai.

“Projek ini banyak diperkatakan dan menteri-menteri berkaitan juga telah buat kenyataan. Ada yang katakan dibatalkan ada pula kata masih dikaji, macam-macam.

“Teapi menyatakan semasa PRK ini saya rasa menyalahi peraturan pilihan raya. Terpulang kepada pihak SPR untuk menilai sama ada merupakan satu kesalahan peraturan pilihan raya ataupun tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng ketika berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kuala Sawah, Rantau, malam semalam memberitahu, Negeri Sembilan akan turut mendapat faedah sekiranya projek ECRL diteruskan.

Tambahnya, jika ECRL berjalan dengan kos yang lebih rendah, jajarannya akan berubah dan ia bagus untuk Negeri Sembilan.

Sementara itu, Mohamad secara berjenaka ingin tahu sama ada jajaran ECRL itu akan melalui kawasan Rantau atau tidak.

“Sampai ke Rantau? kenapa tak kata sampai ke Kuala Sawah, ada satu Kampung Stesen, elok berhenti di situ,” katanya. - UTUSAN ONLINE