Menurut Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, majlis itu akan berlangsung di Hotel Pullman di Kuching pada pukul 2 petang dan akan dihadiri Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Majlis ini diharap akan menjadi platform untuk merapatkan hubungan sesama ahli selain memberi peluang untuk semua ahli bertemu dengan Dr. Mahathir sendiri.

“Yang penting majlis itu dapat merapatkan silaturrahim sesama ahli Bersatu yang bakal berhadapan pilihan raya negeri pada bila-bila masa,” katanya.

Ujarnya, majlis tersebut akan dikendalikan sekretariat pengelola yang diketuai oleh Datuk Seri Azman Samaon selaku pengerusi majlis pengelola.

Dalam pada itu menurut Jaziri Alkaf lagi, siapa yang bakal mengisi jawatan Pengerusi Bersatu Sarawak telah diputuskan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Majlis Pimpinan Tertinggi dan bakal diumumkan oleh Dr. Mahathir dalam masa terdekat.

“Pengumuman itu sekali gus menyelesaikan teka teki tentang siapa yang bakal membawa hala tuju parti itu di Bumi Kenyalang.

“Setakat ini enam bahagian Bersatu Sarawak sudah maklum tentang siapa yang bakal mengetuai parti itu yang kini telah mempunyai ahli mencecah 50,000.

Ujarnya lagi sebanyak 25 bahagian lagi akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan mereka yang akan mengetuai bahagian-bahagian tersebut telah pun diketahui dan kini sedang menunggu kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan.

Lawatan Dr. Mahathir ini merupakan kali kedua selepas beliau merasmikan pelancaran Bersatu Sarawak pada November tahun lepas. - UTUSAN ONLINE