Malah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd.Redzuan Md.Yusof secara sinis meminta Dominic Lau ‘bersekolah’ terlebih dahulu bagi memahami dasar serta hala tuju kerajaan.

Katanya, segala keputusan berhubung jawatan Kabinet hanya boleh ditentukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad.

“Malaysia tidak akan ke mana-mana jika dia (Dominic Lau ) bersifat demikian. Kita perlu beri ruang untuk meningkatkan daya inovasi. Jika tidak bagaimana kita hendak berdaya maju?

“Kalau hanya memberi idea kereta terbang menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet, itu terpulang kepada Dr.Mahathir. Yang pasti, saya akan terus fokus dengan idea ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Parti Gerakan sebelum ini mencadangkan empat menteri digugurkan sekiranya Dr. Mahathir berhasrat merombak Kabinet.

Empat menteri itu ialah Mohd. Redzuan; Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok. - UTUSAN ONLINE