Dominic memberitahu, selain daripada pemimpin PKR, ada juga beberapa orang pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan hasrat yang sama.

Beliau walau bagaimanapun enggan menyatakan tarikh dan bagaimana hasrat itu dinyatakan sama ada menerusi panggilan telefon atau perjumpaan.

“Saya tidak pasti adakah mereka ini (pemimpin PKR) mewakili (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali atau sesiapa tetapi ingin melihat parti Gerakan menerima Azmin.

“Sebagai sebuah parti yang berbilang kaum, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja menyertai parti Gerakan untuk memajukan negara,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

AZMIN GERAKAN
 

Beliau diminta mengulas desas-desus yang tersebar sejak semalam, bahawa Azmin dijangka keluar daripada PKR dan menyertai parti Gerakan dalam masa terdekat ini.

Azmin dikatakan mengambil langkah itu berikutan pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan tersebarnya video seks songsang yang dikatakan melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.

Mengulas lanjut Dominic berkata, beberapa orang pemimpin PKR tersebut menyatakan hasrat untuk menyertai parti Gerakan sebelum isu video seks songsang yang mengaitkan Azmin tersebar.

“Perkara ini (menyertai Gerakan) kemudian timbul semula kebelakangan ini (selepas pergeseran antara Azmin dan Anwar) dan jawapan saya tetap sama iaitu mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai ideologi parti Gerakan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menawarkan sebarang jawatan kepada pemimpin PKR, Dominic enggan mengulas lanjut.

Beliau juga enggan menyatakan sama ada parti Gerakan mahu menyokong PH atau kekal bebas seperti sekarang sekiranya menerima mana-mana pemimpin PKR. - UTUSAN ONLINE

Learn to freehand visualize your ideas