Amirudin dituduh ada skandal dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan kononnya pergerakan kedua-dua pemimpin muda PKR ini terakam melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan, juga pada tarikh 11 Mei 2019, sebagaimana tarikh melibatkan Azmin.

Sedar diri dipalit dengan tuduhan berat itu, Amirudin nampaknya tidak tunggu lama apabila tampil menafikan perkara tersebut dan sudahpun mempersiapkan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang. Juwairiya juga dapat dihubungi pihak media dan beliau berjanji akan mengeluarkan kenyataan akhbarnya dalam masa terdekat.

Buat masa ini, benar atau tidak ada rakaman CCTV tidak dapat dipastikan tetapi Amirudin secara tegas memberitahu beliau tiada di Sabah pada tarikh berkenaan. Melihat kepada ketegasan dan bahasa tubuhnya serta ketenangan Juwairiya sewaktu dihubungi, kedua-duanya nampak begitu menyakinkan.

Soalnya kenapa Amirudin dan Juwairiya dan siapa pula musuh politik mereka ini? Berbeza dengan kes Azmin, yang hadir dengan rakaman videonya sekali, tuduhan ke atas Amirudin dan Juwairiya ini tidak disertakan dengan sebarang bukti. Apa pula motif dan kepentingan jika hayat serta masa depan politik Amirudin ini dapat dimalapkan?

Apakah benar telahan ramai yang ia satu gerakan terancang oleh pihak tertentu kerana umum juga sudah mengetahui bahawa Menteri Besar Selangor ini mempunyai hubungan rapat dengan Azmin. Timbalan Presiden PKR itu memainkan peranan besar menyakinkan Istana Selangor agar memilih Amirudin walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim cenderung mahukan Dr. Idris Ahmad (ADUN Ijok) menjadi Menteri Besar.

Jika benar ada gerakan, Amirudin perlu bersedia menghadapinya dan rakyat akan menilai keupayaan politiknya untuk berdepan cabaran tersebut kerana jika dilihat kepada perkembangan semasa, ia tidak mudah tetapi beliau juga bukan watak hingusan dalam PKR. Amirudin sudah melalui proses itu dalam parti dan pastinya dia sudah bersedia dan ada perancangannya yang tersendiri.

Namun, apa yang jelas, sejarah sudah berulangkali memperlihatkan bahawa kerusi Menteri Besar Selangor ini sentiasa panas. Ramai penyandangnya tersingkir dek permainan politik sesama sendiri, berbanding diturunkan oleh rakyat. Kini hanya masa dan waktu sahaja bakal menjadi saksi apakah episod itu berulang kembali di Selangor. - UTUSAN ONLINE