Dakwa bekas Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman, sudah tentu ada yang mengarah Haziq Abdullah Abdul Aziz supaya mengaku terlibat serta mereka berkemungkinan mengatur perancangan tersebut dengan begitu teliti.

Katanya, beliau tidak mahu menuduh tetapi amat yakin tindakan yang disifatkan jahat itu didalangi oleh individu di dalam PKR berdasarkan sebaran video terbabit yang menggunakan pangkalan data di pejabat parti tersebut sendiri.

“Saya percaya ia merupakan perancangan rapi yang disusun begitu lama iaitu dengan tujuan membunuh karier Mohamed Azmin yang sedang berkembang naik.

“Mana mungkin Haziq Abdullah berani bertindak demikian jika tidak ada orang di belakangnya dan kemungkinan dia (Haziq Abdullah) diberi jaminan apa-apa melakukan perkara itu.

“Jadi, saya berharap Lembaga Disiplin PKR menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan secara tegas tanpa tolak ansur. Dalam masa sama, PKR juga perlu mengambil tindakan terhadap Haziq Abdullah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Azmin hari ini meminta agar Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang yang bertanggungjawab mewujudkan kumpulan dalam aplikasi WhatsApp berhubung penularan video seks yang didakwa mirip dengan beliau baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, langkah tersebut perlu diambil kerana pihak yang mewujudkan kumpulan tersebut mempunyai maklumat mengenai individu yang hendak dijadikan ahli dalam laman sosial berkenaan.

Tegas Timbalan Presiden PKR itu, pihak terbabit juga mempunyai maklumat berkaitan anggota parti di pelbagai peringkat cabang daripada yang tertinggi sehinggalah rendah.

Sementara itu, Mohammad Faisol yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Arau menggesa agar jangan ada pihak-pihak di dalam parti cuba mengeruhkan keadaan dengan mendesak Mohamed Azmin berundur.

“Walaupun tidak suka dengan seseorang pemimpin itu, tetapi janganlah melakukan kezaliman. Ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan negara, ada pihak cuba merosakkannya dengan isu berkenaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE