Menurut Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) kekosongan jawatan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan persatuan sukan yang tertanya-tanya hala tuju sukan negeri ini.

"Persatuan sukan mengadu kerana pengarah MSN masih belum dilantik. Ini membantutkan persediaan. Pengarah ini penting kerana Sukma tahun depan, tak lama lagi. Persatuan mengadu tiada perancangan kerana pengarah tak ada.

"Sukarkah hendak pilih pengarah ini? Kalau tidak, beritahu saya, di kampung saya ramai calon-calonnya," katanya dalam Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Jawatan itu kosong selepas kontrak penyandangnya, Fouzee Abd. Aziz tamat pada 30 November tahun lalu.

Dalam pada itu, Zaifulbahri turut menganggap Pakatan Harapan membuat kesilapan kerana tergesa-gesa menukar beberapa pegawai kanan kerajaan sebaik saja menang Pilihan Raya Umum Ke-14 hingga menjejaskan pentadbiran negeri.

"Setiausaha kerajaan negeri ditukar, penasihat undang-undang juga ditukar. Sepatutnya kekalkan pegawai dulu untuk gunakan pengalaman mereka, kalau selepas setahun hendak ubah terpulanglah," katanya.

Menjawab isu kekosongan jawatan Pengarah MSN, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) berkata, kerajaan negeri akan memilih calon yang berwibawa dan amanah untuk menjalankan tugas tersebut.

"Kita tak mahu lantik suka-suka, macam lantik orang kampung kita seperti yang disebut ADUN Chembong. Saya boleh lantik sesiapa saja, sahabat kita contohnya, tetapi bukan itu tujuan kita," ujarnya.

Selain itu, beliau juga menyifatkan pertukaran dalam kalangan pegawai kanan adalah amalan biasa dalam sektor awam.

"Sesiapa pernah kerja kerajaan tahu itu perkara biasa. Kalau ada pegawai tak boleh bekerja dengan kita, maka kita minta mereka pindah ke jabatan lain. Kita perlukan pegawai yang dapat laksana tanggungjawab dengan baik.

"Ada pegawai yang ditukarkan ke negeri ini menunjukkan komitmen baik. Saya tak kata mereka yang berpindah prestasi tak baik. Ramai yang dinaikkan pangkat dan ditukar ke ibu pejabat. Kadangkala ini disalah anggap. Ini bukan disengajakan tetapi kerana keperluan penjawatan yang ada," katanya. - UTUSAN ONLINE