Perkataan semburit yang membawa maksud persetubuhan sesama lelaki mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat dianggap tidak sesuai dan tidak senonoh terutamanya kepada masyarakat di negeri-negeri utara.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof berkata, perkataan itu tidak sesuai digunakan kerana ia membawa maksud berbeza kepada penduduk di negeri ini.

“Sebenarnya perkataan itu tidak manis digunakan kerana ia menggambarkan bahagian kemaluan wanita, walaupun tidak terkandung dalam kamus dewan tetapi masyarakat di sini sudah lama memahami perkataan itu dengan maksud lain.

“Saya percaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai jutaan perkataan lain yang boleh digantikan dengan perkataan itu misalnya kata pinjaman seperti ‘selfie’ yang ditukar kepada swafoto dan ‘hashtag’ kepada tanda pagar,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Justeru, Shahanim meminta DBP mengkaji semula penggunaan perkataan itu dan menukar kepada perkataan lain yang lebih sesuai untuk menggambarkan perbuatan seks sesama lelaki itu.

“Sebagai seorang wanita dan ibu, saya sendiri malu apabila perkataan ini mula digunakan, apatah lagi kanak-kanak sekolah juga telah mula menuturkannya dan mereka menganggap ia perkataan biasa kerana terkandung dalam kamus dewan.

“Sebenarnya, macam tidak adil pula kerana perbuatan itu antara seorang lelaki dengan lelaki lain, tetapi mengapa perkataan yang membabitkan kemaluan wanita pula timbul,” katanya. - UTUSAN ONLINE