Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantahan dibuat itu terlalu dangkal, sekali gus mencerminkan pemikiran sempit satu kelompok cauvinis yang tidak memberi sebarang sumbangan kepada pembinaan bangsa Malaysia yang sedang diusahakan.

Tegas beliau, meskipun ada kaitan dengan bangsa Melayu dan agama Islam, tulisan khat dan kaligrafi Jawi merupakan satu cabang seni yang harus dihargai dan dipelihara.

“Bagaimana dengan kaligrafi Cina? Tidak pula saya dengar orang Melayu atau mana-mana parti membantah tidak setuju anda belajar kaligrafi Cina? Kemudian dihantar pula anak-anak dia ke sekolah Cina persendirian, ini pun tidak menjadi isu kepada kita sebagai orang yang faham perlembagaan.

“DAP ini, kita harap pimpinan mereka dapat beri kefahaman yang betul kepada ahlinya sendiri dan mengawal mereka supaya tidak menyentuh sensitiviti pihak lain sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Pantai Sri Tujuh, di sini hari ini.

Seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu baru-baru ini membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Ini susulan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, DAP yang kononnya parti berbilang kaum perlu membuktikan perkara itu dengan cara memainkan peranan mendukung aspirasi rakyat berbilang kaum juga.

“Dia tidak boleh memaksa pemikiran dan ideologi satu kelompok cauvinis supaya diterima semua,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan sudah tentu telah membuat kajian teliti sebelum memutuskan sesuatu dasar dan selagi perkara itu selari dengan Dasar Pendidikan Negara, semua pihak perlu menghormatinya. - UTUSAN ONLINE