Rahmad Isahak
RAHMAD

Bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, kenyataan terbuka oleh dua wakil rakyat DAP baru-baru ini dilihat lebih menjurus kepada kenyataan rasmi parti berkenaan malah jika ia tidak mendapat kebenaran, maka kedua-duanya perlu dikenakan tindakan disiplin bagi membersihkan maruah parti yang juga sebahagian daripada pentadbir Kerajaan Persekutuan.

“Apa sekalipun hujahan serta rujukan yang digunapakai oleh DAP, natijahnya tetap satu iaitu sebahagian besar pengundi telah memberikan mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan bukan atas dasar kesamarataan malah berkemungkinan majoriti rakyat tidak faham apakah itu Deklarasi Setapak 1967 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tapi sebaliknya lebih bersemangat dalam memberikan kepercayaan apabila Tun Dr. Mahathir Mohamed menerajui Pakatan Harapan, malah tidak dinafikan tanpa penglibatannya (Dr. Mahathir) maka Pakatan Harapan akan terus kekal bermastautin sebagai pembangkang.

“Tiada sebab malah jangan sampai dalam situasi yang munasabah sehingga Perlembagaan Persekutuan perlu diusik melalui suatu pindaan hanya semata-mata bagi merealisasikan hasrat pihak tertentu bagi tujuan memartabatkan status kesamarataan yang sekali gus mampu menggamit elemen ancaman kepada Perkara 153 dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu jelasnya, penghargaan serta pujian harus diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga rakan komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam menyatakan status pendirian majoriti ahli mereka yang menolak ICERD demi menjaga kepentingan keharmonian pelbagai kaum di negara ini yang diterajui oleh 68 peratus Melayu beragama Islam.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berpandangan, jika parti itu mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua wakil rakyat itu berkata, DAP perlu memperbetulkan sistem dan dasar perkauman Barisan Nasional (BN) secara beransur-ansur sekali gus menghentikan politik perkauman selama ini.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar ahli Bersatu baru-baru ini memberi pandangan tidak bersetuju dengan keperluan meratifikasi ICERD.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka turut menyuarakan kebimbangan ratifikasi berkenaan akan menjejaskan beberapa perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE