Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew mendakwa, Mohd. Rafiq menjemput Zakir Naik ke Melaka atas kepentingan politik dan peribadi dan bertindak kononnya untuk menjadi 'wira' dalam memperkasa institusi Islam khususnya di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya kesal Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri itu mempolitikkan agama untuk kepentingan diri dan yakin rakyat seharusnya diberi hak untuk mengetahui keadaan yang sebenar.

"Saya telah bertemu dengan beliau (Mohd. Rafiq) pada Isnin lalu berhubung isu kedatangan Zakir Naik ke Melaka dan saya diberitahu olehnya alasan untuk membawa pendakwah kontroversi itu ke Melaka kerana beliau gentar dengan gabungan parti UMNO dan Pas dan ini peluang menarik sokongan masyarakat Melayu.

"Seolah-olah beliau menjemput Zakir Naik untuk menunjukkan akan ada wira Melayu dari Melaka yang mempertahankan pendakwah terkenal itu yang menjadi topik perbualan hangat ketika ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Banda Hilir di sini sebentar tadi.

Zakir Naik dijadualkan hadir pada majlis `Malam Islam Bersatu' yang akan berlangsung di Masjid Cina Krubong petang esok di mana Mohd. Rafiq yang juga Ahli Majlis Tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan pengerusi masjid berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Adly Zahari memaklumkan kerajaan negeri melarang pendakwah dari India itu datang ke Melaka untuk mengadakan ceramah namun difahamkan, majlis malam esok hanya melibatkan solat Maghrib berjemaah dan solat sunat tanpa melibatkan ceramah.

Kok Kiew yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, DAP tidak membantah kehadiran Zakir Naik ke negeri ini namun sekarang bukanlah masa yang sesuai kerana isu ini masih panas dan boleh memburukkan keadaan.

Katanya, sebagai kerajaan di negeri ini, semua pemimpin seharusnya mengurangkan polemik yang tidak berfaedah dan melaksanakan segala manifesto yang dijanjikan agar rakyat dapat hidup dengan lebih baik.

"Saya mendukung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama kepada penganut agama–agama lain. Namun tindakan beliau (Mohd. Rafiq) seolah–olah mempergunakan sentimen agama bagi menarik sokongan pengundi di samping bermotif kepentingan politik peribadi," katanya. - UTUSAN ONLINE