Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah dimaklumkan keputusan tersebut dan menerima baik langkah yang diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh itu.

“Kita menghormati keputusan dan pendirian yang dibuat oleh beliau, ia satu langkah yang telah pun dibuat, jadi kita menghormatinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program sokongan Keselamatan Perjalanan di Wisma Tenaga Nasional Berhad di sini hari ini.

Choo Kiong yang juga Bendahari DAP Perak baru-baru ini memaklumkan, beliau akan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Exco bagi memberi sepenuh perhatian kepada perbicaraan mahkamah dan membersihkan namanya yang dituduh merogol amah warga Indonesia.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri akan meneruskan perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di DUN Tronoh.

Pada Jumaat lalu, Choo Kiong, 49, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru pada 7 Julai lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut. - UTUSAN ONLINE