Demikian tegas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai membalas kenyataan Ahli Parlimen Klang, charles Santiago yang semalam mendakwa Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara bersendirian dalam isu-isu penting negara.

Sambil menyangkal dakwaan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu, Maszlee menjelaskan, sepanjang menghadiri mesyuarat melibatkan Dr. Mahathir, Pengerusi PH itu tegas dalam mencari kata putus dan dalam masa sama amat menghargai suara setiap ahli mesyuarat yang hadir.

"Ingin saya tegaskan bahawa Perdana Menteri merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau PH merupakan keputusan bersama.

"Saya percaya Ahli Mesyuarat Jemaah Menteri yang lain boleh mengesahkan perkara ini. Isu seperti Statut Rom, Lynas, ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum ) dan pelbagai isu lain telah dibincang dan diputuskan secara terbuka dan penuh muafakat," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Santiago yang juga pemimpin DAP menyuarakan kebimbangan beliau terhadap kepemimpinan PH apabila mendakwa Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan kekuasaannya walaupun datang daripada parti kecil.

Dr. Mahathir ketika ditemui pemberita dalam satu majlis di Langkawi semalam pula, secara sinis membalas dakwaan itu dengan 'mengiktiraf' Santiago mempunyai kedudukan yang setaraf dengan beliau.

"Pada masa depan apabila saya nak buat keputusan saya akan tanya boleh atau tidak Santiago bersetuju, kalau dia tak bersetuju. saya tak buatlah, mesti dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya," sindir beliau. - UTUSAN ONLINE