Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah antara perkara yang dipersetujui oleh jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti yang ditubuhkan bagi merangka hala tuju kerjasama politik tersebut.

“Kita putuskan semasa menunggu PRU-15 dan jika ada PRK, kalau Pas masuk (bertanding) UMNO akan tolong, kalau UMNO masuk, Pas tolong.

“Kita juga bersetuju untuk bersatu dalam apa juga isu melibatkan kepentingan Islam dan Melayu sama ada di Parlimen atau negeri. Ini kita boleh tengok apabila Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar digantung di Parlimen baru-baru ini dan UMNO keluar dewan sebagai protes, Pas ikut sama keluar.

“Semalam, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa digantung dua hari, Pas keluar dewan, UMNO pun keluar. Ini solidariti yang kita tunjukkan. Cubit kaki kiri, kaki kanan terasa,” katanya semasa ceramah sempena PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Kampung Linsum di sini malam tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Annuar Nasarah dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas awal-awal lagi telah memberi komitmen untuk membantu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK Rantau.

“Semasa ada ura-ura PRK dulu, Tok Mat (Mohamad) menghubungi saya. Ketika itu saya berjanji bahawa Pas akan memastikan semua jentera turun membantu beliau.

“Kita bukan semata-mata mahu memenangkan Tok Mat sebagai individu tetapi yang penting kerana beliau mewakili parti Melayu terbesar,” katanya. - UTUSAN ONLINE