Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, ini kerana cadangan yang dibangkitkan itu bukan sahaja perkara lama, malah adalah perkara berkaitan pentadbiran serta memerlukan keputusan eksekuitf dan tidak menyentuh soal dasar.

Menurutnya, ketegasan untuk membawa satu usul atau mana-mana rang undang-undang adalah lebih utama sekali gus perkara yang dibangkitkan itu perlu diadakan usul terhadap kaedah perjalanan Dewan Undangan Negeri (DUN) barulah usaha memperkasa itu boleh tercapai.

“Kalau Menteri Besar (MB) tahu kuasa dia, maka, tak perlu MB nak diberi kuasa baharu atau mandat baharu atau kerajaan negeri tahu mengurangkan kerenah birokrasi itu semua boleh selesai....masalahnya MB tak tahu apa yang dalam kuasa dia dan apa patut dibuat.

“Jadi, buat apa nak buat benda begitu tanpa adanya dasar kerana ia boleh dibuat secara pentadbiran sahaja, negeri lain seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang pun sudah amalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri Johor yang diadakan selama dua hari dan berakhir semalam mencadangkan lima penambahbaikan iaitu pengstrukturan institusi dewan, jawatankuasa pilihan, peruntukan, perbahasan dewan dan dewan mesra rakyat.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, perkara yang dicadangkan itu sewajarnya diusulkan di DUN untuk mendapat kelulusan supaya ia dapat dikaji dan selepas dipersetujui maka boleh dilaksanakan bengkel bagi mengenal pasti perkara berkaitan.

Sebagai contoh, katanya, mewujudkan jurutulis yang khusus atau mahu perjalanan DUN turut dilaksanakan secara siaran langsung di Facebook atau portal lebih mesra rakyat, itu semua keputusan yang boleh dibuat di peringkat pentadbiran.

“Ia tidak menyentuh soal dasar dan ia juga merupakan perkara-perkara bersifat pentadbiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE