Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya berkata, malah keadaan di dalam PH pada masa ini juga membimbangkan kerana bukan sahaja gagal mentadbir dengan baik malah perpecahan sesama mereka juga semakin memuncak.

Katanya, apabila berlaku pertembungan sesama sendiri termasuk perebutan kuasa secara terbuka dalam kalangan pemimpin PH, menyebabkan rakyat merasa tidak selesa.

"Jika dahulu PKR dominan di dalam PH namun apabila wujudnya dua kem, sudah tiada lagi parti dominan di dalam PH yang boleh diharapkan. Yang dominan sekarang adalah DAP.

"Melihat kepada suasana yang ini, keperluan taawun antara UMNO dan Pas ini perlu diperkukuhkan dan apabila berlaku sahaja pilihan raya, PH wajib ditumbangkan," katanya ketika berucap pada program perpaduan ummah di Command Centre, Jerai di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Yang Dipertua Pas kawasan Jerai, Musoddak Ahmad.

Tambah Yahaya, kerjasama Pas dan UMNO semakin hari semakin baik termasuk di negeri ini dan mereka sudah bersedia untuk berhadapan dengan PH dalam pilihan raya akan datang.

"Komitmen Pas Kedah akan bersama kukuhkan kerjasama ini. Ini juga adalah perintah Allah SWT iaitu menuntut kita melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan," katanya.- UTUSAN ONLINE