Tidak tahulah siapa yang menyumbang cuma di atas penutup pek bubur berkenaan terdapat pelekat logo merah Pakatan Harapan (PH). Tular juga dalam media sosial.

Cuma terfikir juga, betul ke PH yang menyumbang? Bersedekah memang amalan mulia tetapi dalam tempoh kempen termasuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, perkara itu dilarang.

Ini disebut dalam Seksyen 8, Akta Kesalahan Pilihan Raya mengenai larangan jamuan makan oleh parti bertanding. Justeru tak kan PH tidak sedar atau ada pihak yang cuba kenakan PH? Boleh jadi juga.

Apa pun perkara mengenai larangan jamuan makan bagi mempengaruhi pengundi telah dibangkitkan dalam media sosial Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun.

Beliau yang juga seorang peguam seperti biasa menjawab berlandaskan perundangan. Malah katanya, terdapat surat peringatan diedarkan kepada parti bertanding berhubung perkara ini.

“Kalau tak suka Seksyen 8, pohon dipinda atau dimansuhkan saja di Parlimen. Jangan panggil SPR atau saya tidak berakal kerana menjalankan tugas di bawah undang-undang yang ada,” katanya dalam Twitter beliau.

Susah juga kalau berada di tempat Azhar. Kalau tidak dikuatkuasakan, benda ada dalam undang-undang tetapi kalau dikuatkuasakan menjadi polemik pula ‘kesalahan menjamu makan’ kerana macam tak relevan.

Beginilah, usah terlalu rigid lagi pun sukar nak dibuktikan edaran bubur lambuk itu bertujuan mempengaruhi undi. Mungkin masa akta itu digubal senarionya lain, macam bubur keladi dalam filem Hantu Kak Limah, padahal tanya budak sekarang apa sangat bubur keladi.

Lagi pun ada juga kesalahan yang sudah kurang praktikal untuk dikuatkuasakan kini diabaikan agensi penguatkuasaan. Pelanggaran yang menjejaskan prinsip keadilan secara nyata, itulah perlu diutamakan.

Bab pinda Seksyen 8 berhubung ‘kesalahan menjamu’, eloklah SPR usulkan segera. Dewan Rakyat bersidang bulan depan. Maklumlah banyak lagi PRK dikhabarkan bakal menyusul. - UTUSAN ONLINE