Itu penegasan Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (DPIM) yang melihat Kementerian Kewangan bersedia bertindak sekiranya bon kali kedua itu diteruskan.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, menurut laporan berita, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengadakan rundingan dengan kerajaan Jepun khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan Bon Samurai tersebut.

"Berdasarkan laporan, JBIC bersetuju memberikan kadar faedah pinjaman 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun.

"Harus diingat, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat pinjaman Bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion Yen pada Mac 2019 dengan faedah pinjaman 0.63 peratus dengan tempoh matang 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menambah, kerajaan bukanlah mendapat pinjaman 'loan aid' dari Jepun, tetapi kerajaan Malaysia mengeluarkan bon yang dijamin oleh kerajaan Jepun.

"Bon Samurai adalah bon yang dikeluarkan dalam didominasi mata wang Yen di Tokyo oleh syarikat bukan Jepun dan tertakluk kepada undang-undang Jepun.

"Ini bukan kali pertama Malaysia terbabit dalam urusan Bon Samurai sekitar tahun 2015, Maybank pernah menerbitkan 31.3 bilion Yen Bon Samurai yang terdiri daripada dua siri bon kadar tetap dengan tempoh matang 3 tahun dan 5 tahun dengan faedah 0.397 peratus dan 0.509 peratus," katanya.

Menurutnya, namun begitu, kali ini jumlah terbitan Bon Samurai dilihat dalam kuantiti yang jauh lebih besar dengan tempoh matang lebih lama dan faedah lebih tinggi.

Katanya, ketiga-tiga faktor ini membuka ruang kepada ketidaktentuan ekonomi negara pada hari ini dan 10 tahun akan datang.

"Hutang Bon Samurai yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia dengan jaminan kerajaan asing bakal menjadikan ekonomi Malaysia lebih terdedah kepada mata wang asing terutama Yen," katanya. - UTUSAN ONLINE