Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, Guan Eng juga tidak perlu menggesa UMNO dan Pas mengecam kempen itu bagi membuktikan kedua-dua parti tidak menentang bukan bumiputera.

Tindakan Setiausaha Agung DAP itu sebaliknya kata beliau, hanya salah satu taktik untuk mengalih isu kegagalan diri sendiri dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurus kewangan serta melonjakkan ekonomi negara.

"Kenyataan Menteri Kewangan supaya UMNO dan Pas tidak memboikot barangan keluaran bukan bumiputera adalah satu pertuduhan fitnah ke atas parti kami.

"Ini kerana kedua-dua parti tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bertulis mahupun lisan terhadap tindakan memboikot ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, jika UMNO dan Pas tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, dua parti itu harus mengamalkan pendirian mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera yang berlalu ketika ini.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, kenyataan Guan Eng dilihat bertujuan mengembalikan sokongan masyarakat Cina dek kerana kesilapan pemimpin DAP sebelum ini yang memainkan isu tulisan Jawi sehingga mencetus ketegangan kaum.

Selain itu katanya, DAP sengaja mengalihkan isu berkaitan Kementerian Pengangkutan yang gagal menjawab perkara melibatkan keselamatan negara, iaitu berkaitan sistem maklumat utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikatakan disabotaj sehingga ramai pelancong China terkandas.

"Pemuda UMNO Kelantan menyarankan Lim Guan Eng menumpukan tugasan utamanya di Kementerian Kewangan, iaitu menggubal satu dasar bagi merangsang ekonomi negara, memastikan pengurusan dana yang berhemah dan menjamin kekayaan negara untuk diagihkan kepada rakyat.

"Apa yang jelas, Guan Eng gagal dalam mengurus kewangan negara sehingga menyebabkan rakyat kurang berbelanja," katanya. - UTUSAN ONLINE