Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad berkata, pihaknya akan membangkitkan perkara tersebut supaya jawatankuasa berkenaan dapat melakukan soal siasat untuk mendisiplinkan Naib Presiden PKR itu kerana tindakan beliau bertentangan dengan sumpah taat setia yang dilafazkan sebagai ahli Parlimen.

Beliau berkata, Nurul Izzah wajar dikenakan tindakan oleh jawatankuasa tersebut kerana anak sulung bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ke luar negara untuk berjumpa dengan anak pengganas yang tidak diiktira, yang jelas dan nyata adalah salah.

“Kalau di negara lain, apa yang dilakukan oleh Naib Presien PKR itu merupakan isu besar yang boleh mencetuskan provokasi dan mengundang kontroversi.

“Semua maklum, setiap ahli Parlimen baik parti kerajaan mahupun pembangkang, mereka terikat dengan sumpah taat dan setia serta menghormati Perlembagaan. Lazimnya mereka ini mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas memenangi kerusi pada pilihan raya,” katanya semasa diminta mengulas pertemuan Nurul Izzah dan Jacel di Filipina, baru-baru ini.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Komuniti Johor Taman Aman Larkin, di sini semalam. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, Abd. Razak Mohd. Yusoff.

Beliau turut menasihatkan Nurul Izzah supaya menjaga kelakuan sama ada di dalam atau di luar negara dan tidak sepatutnya mencemuh atau bercerita kisah negara kepada pihak luar.

Ditanya tentang pemohonan maaf oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Shahrir menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak ikhlas kerana Nurul Izzah tidak menyesali perbuatannya mengadakan pertemuan dengan anak ketua pengganas itu.

“Sebaliknya, apa yang diperhatikan, dia hanya memohon maaf atas tindakannya yang tersilap langkah dengan memuat naik gambar bersama Jacel Kiram sehingga menggores hati pihak tertentu. Tetapi sekiranya gambar tidak diambil bermakna dia tidak kesal,” katanya.