Kali ini terlepas kerusi kepada lawan apa pula alasan pemimpin Pakatan Harapan (PH) agaknya, mungkin calon?

Andai begitu, kepemimpinan yang memilih Muhammad Aiman Zainali, 30, bertanding di Dewan Undangan Semenyih (DUN) Semenyih juga jangan lepas tangan. Aiman tak kisah rasanya kalau tidak dicalonkan pun.

Cuma kena ingat, kalah menang banyak faktornya. Salah satunya PH tidak boleh sangkal rasa bosan, muak dan jelek sebahagian rakyat ‘atas pagar’ termasuk penyokong mereka dengan isu lompat parti.

Memikat dan menerima wakil rakyat BN sudah ditegur dari dalam dan luar PH. Dengan kekalahan berturut-turut PH apakah masih ada ‘projek lompat parti’ ini?

Atas semangat demokrasi, harapnya tidak. Mereka yang bersedia menerima pinangan melompat itu mungkin ada, mencari jalan senang untuk talian hayat barangkali. Kesetiaan tolak tepi.

Namun yang menerima YB-YB ini kena ingat, jentera BN khususnya UMNO tidak pula lumpuh. Bahagian UMNO yang Ahli Parlimen mereka lompat pun masih bersemangat turun ke Cameron Highlands dan Semenyih, apatah lagi yang lain.

Senang cerita, hajat nak talkinkan UMNO sangat berliku dan berduri apatah lagi dengan kerjasama politik terbaharu dengan Pas. Menang pula dengan majoriti agak manis di Semenyih dan Cameron Highlands pastinya memberikan semangat buat BN, sekali gus menstabilkan suasana.

Malah dengan kejayaan PRK Semenyih ini orang UMNO sendiri tidak akan meratapi mana-mana wakil rakyat BN yang nak keluar parti, lagi dialu-alukan rasanya.

Tapi jika kepemimpinan PH khususnya Bersatu mahu teruskan juga menerima dan mahukan wakil rakyat BN kerana perkiraaan tertentu, silakan saja. Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang.

Cuma jangan pula Islam dan orang Melayu dijadikan alasan oleh mereka yang melompat itu. Cukup-cukuplah kalimah itu digunakan orang politik. - UTUSAN ONLINE