Lebih tepat maxim atau prinsip undang-undang ini merujuk kepada pembuktian itu pada yang mendakwa, maka yang dituduh tidak harus menanggung akibat sehinggalah didapati bersalah.

Terbit daripada Common Law Inggeris dan turut terkandung dalam Artikel 11 Deklarasi Universal Me­ngenai Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), begitu juga dalam Perkara 5 Perlembagaan Per­sekutuan berhubung kebebasan asasi warganegara.

Sehari dua ini, prinsip tersebut banyak disebut sebahagian pemimpin PKR, reaksi kepada kenyataan parti mereka semalam yang mahukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercuti sepanjang siasatan kes video seks songsang yang dikaitkan dengan beliau.

Justeru, perlu atau tidak Mohamed Azmin bercuti yang sebelum ini telah me­na­fikan segala tuduhan tersebut? Undang-undang tidak menyatakan mereka yang disiasat perlu bercuti, bahkan yang dituduh pun boleh terus memegang jawatan yang disandang.

Lim Guan Eng sebagai contoh sewaktu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang tetap tidak berganjak daripada jawatannya selepas dihadapkan pertuduhan jenayah yang kemudian ditarik balik Pendakwa Raya di bawah kerajaan Malaysia Baharu.

Di Jepun malah di Amerika Syarikat (AS) pun pernah berlaku kepada pemimpin kerajaan, tetap memegang jawatan walaupun berdepan pertuduhan jenayah.

Cumanya dari segi amalan di negara-negara Komanwel, lazimnya seseorang itu akan melepaskan jawatan selepas dituduh supaya tidak timbul satu bentuk tekanan kepada penyiasat atau mahkamah oleh eksekutif.

Ini berbalik kepada, ‘keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan bahkan perlu dilihat dilaksanakan’ selain memelihara kebebasan badan kehakiman. Pilihan di tangan Mohamed Azmin ke­rana beliau juga boleh berhujah yang portfolionya tiada kena mengena dengan pihak yang menyiasat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi pandangan tetapi pokok pangkalnya sebagai anggota Kabinet, kedudukan Mohamed Azmin terletak di ta­ngan Perdana Menteri.

Setakat ini dua kali Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ulasan soal desakan supaya Mohamed Azmin bercuti. Pertama 20 Jun lalu dan terbaharu semalam. Ada yang membandingkan antara semalam dan 20 Jun, namun tunggu dan lihat. Biarlah kita menyeberang bila tiba di jambatan. - UTUSAN ONLINE