Menurut Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Ahmad Suffian, mereka telah menerima sokongan dan komitmen kuat dari peringkat Bersatu Pusat untuk memastikan penubuhan parti itu di Sarawak menjadi kenyataan berikutan sokongan padu yang diterima dari ahli-ahli di negeri itu.

“Berdasarkan sokongan kuat yang diterima dari peringkat akar umbi, kepimpinan Bersatu Pusat memperakui dan akan meneruskan penubuhan kepimpinan Bersatu di peringkat negeri.

“Dengan penubuhan ini adalah menjadi harapan agar kepimpinan Bersatu Sarawak akan diberi peranan lebih besar di peringkat pusat,” kata Jaziri Alkaf.

Ujar beliau, pihak Bersatu Sarawak yakin mereka dapat memainkan peranan yang lebih besar berdasarkan sokongan yang diterima dari rakyat negeri ini serta keyakinan yang dinyatakan sendiri oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin selepas mengadakan pertemuan semalam.

Sehingga kini ujar beliau, ROS telah meluluskan enam bahagian Bersatu di negeri itu. Ia termasuk bahagian Santubung, Stampin, Sri Aman, Saratok, Kota Semarahan, dan Bintulu. Manakala enam lagi bahagian kini dalam proses mendapat kelulusan ROS.

“Hakikatnya akan berlaku tiga fasa dalam menubuhkan bahagian kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang unik dari segi landskap politiknya. Oleh itu tidak ada keperluan untuk ditubuhkan semua bahagian secara tergesa-gesa.

“Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, tersusun dan strategik berdasarkan sokongan padu yang diterima dari masyarakat Sarawak, katanya lagi. - UTUSAN ONLINE